Pampasan RM824,180 dihempap pokok - Utusan Malaysia

Pampasan RM824,180 dihempap pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang kehilangan anak lelaki akibat dihempap pokok tumbang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja tiga tahun lalu, mendapat ganti rugi berjumlah RM824,180.

Hakim Effandi Nazila Abdullah memberikan ganti rugi tersebut kepada pasangan Gooi Ling Sim, 61, dan Phun Kok Hoi, 63, yang bertindak selaku tanggungan kepada mendiang, Phun Mun Lap, 30, selepas membenarkan saman mereka.

Ganti rugi merangkumi kos pengebumian Mun Lap sebanyak RM26,180, ganti rugi kehilangan tanggungan (RM768,000) dan ganti rugi kedukacitaan (RM30,000).

Menurut penghakiman bertarikh 9 Mac lalu, hakim menyatakan bahawa pokok yang tumbang dari pembahagi jalan berhampiran pintu gerbang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berdekatan Pasar Harian Selayang berada dalam jagaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hakim turut menyatakan kemalangan tersebut tidak akan berlaku tanpa unsur kecuaian dalam pemantauan serta penyelenggaraan pihak terbabit.

Pasangan itu memfailkan saman selepas anak mereka ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Kuching di sini pada 22 Mac 2023 dengan menaiki motosikal dihempap sebatang pokok.

Mangsa yang bekerja sebagai pemandu kren mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Selayang sebelum disah­kan meninggal dunia, keesokan harinya.

Menurut saman itu, kemala­ngan tersebut berpunca daripada kecuaian DBKL kerana gagal memastikan pokok yang dita­nam di pembahagi jalan tidak tumbang ke atas jalan raya.

Mereka juga mendakwa, DBKL gagal menjalankan kerja pemotongan, pengguntingan dan pemangkasan ke atas pokok yang tidak selamat.

DBKL turut didakwa gagal memastikan langkah keselamatan dipasang bagi mengelakkan kejadian pokok tumbang, selain tidak menjalankan pemeriksaan berkala untuk memastikan pokok berada dalam keadaan selamat dan tidak membahayakan pengguna jalan raya.

DBKL juga didakwa gagal memilih jenis pokok yang sesuai untuk ditanam serta tidak mewujudkan jarak atau zon keselamatan yang mencukupi antara pokok dengan pengguna jalan raya.

Dalam alasan penghakiman, hakim menyatakan defendan ketika memberi keterangan tidak mempertikaikan pokok berkenaan berada di bawah selenggaraan DBKL yang turut disokong oleh keterangan saksinya sendiri.

“Defendan juga mengaku pokok yang tumbang itu terlalu besar dan tidak diselenggara sebagaimana sepatutnya. Ia juga mengakui tidak mempunyai bukti dokumen yang menunjukkan kerja penyelenggaraan atau pemantauan seperti memotong pernah dilaksanakan.

“Memandangkan ketika memberikan keterangan di mahkamah, defendan gagal mengemukakan sebarang bukti mengenai kerja penyelenggaraan atau pemantauan terhadap pokok itu, maka berdasarkan prinsip res ipsa loquitur, tanggungan (liabiliti) adalah terletak sepenuhnya di atas pihak defendan,” katanya.

Effandi Nazila berkata, DBKL gagal melaksanakan kewajipan statutori dan tanggungjawab berhati-hati dalam menjalankan kerja penyelenggaraan, pemeriksaan, pencegahan dan kawalan bagi memastikan pokok di pembahagi jalan sentiasa berada dalam keadaan selamat.

“Saksi defendan turut mengakui DBKL mempunyai kewajipan statutori di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.

Empat saksi plaintif dan defendan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan selama dua hari pada September 2025.

DBKL sudah memfailkan rayu­an terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN