ALOR GAJAH: Lima individu direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan rangka bayi yang ditanam di hadapan sebuah rumah di Kelemak di sini.
Perintah reman dikeluarkan oleh Hakim Kamarul Aris Kamaluddin selepas permohonan dikemukakan polis.
Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 40 tahun itu terdiri daripada wanita berusia 19 tahun dipercayai ibu kepada bayi berkenaan, teman lelaki, ibu, kakak dan adik lelakinya.
Kesemua mereka direman bagi membolehkan siasatan lanjut di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan termasuk mengenal pasti punca kematian serta keadaan sebenar kejadian.
Kesemua suspek yang berbaju lokap berwarna ungu tiba di Mahkamah Sesyen pada pukul 8.45 pagi.
Terdahulu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan penahanan kesemua individu itu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Rangka bayi yang dipercayai dilahirkan kira-kira empat bulan lalu ditemukan ditanam di hadapan sebuah rumah di Kelemak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. – UTUSAN










