GEORGE TOWN: Lapan lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan tiga anggota polis yang sedang menjalankan tugas dalam kejadian di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang, minggu lalu.
Lapan itu tertuduh tersebut adalah Noor Nizar Shah Zainol Abidin, 37; Muhammad Syafiq Mohd Nordin, 28; Azwandy Azmi, 38; Muhamad Aiqal Zulkifrey, 28; Muhammad Firdaus Abdul Malik, 34; Muhammad Razin Abdul Muthalib, 34; Muhammad Syazwan Mohd Omar, 30, dan Low Jia Hui, 26.
Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederakan terhadap Lans Koperal S. Uvaneand, 26; Konstabel Muhammad Danial Danish Azlan, 23 dan Lans Koperal Muhammad Amzaruddin Fakhri Khuiruddin, 30 semasa mereka melaksanakan tugas di hadapan PPR Jalan Sungai Pinang di Georgetown di sini kira-kira pukul 9.50 malam pada 25 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli menawarkan wang jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh, namun peguam, S. Meharaj memohon agar mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan memandangkan semua tertuduh hanya pekerja biasa serta mempunyai tanggungan keluarga.
Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 19 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan, lapan lelaki tempatan direman selepas disyaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam satu kejadian di PPR Jalan Sungai Sungai Pinang, pada 25 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku apabila empat anggota polis sedang mengejar seorang individu mencurigakan yang melarikan diri ke arah pangsapuri tersebut sebelum berlaku perselisihan faham dengan beberapa orang awam di kawasan itu. – UTUSAN








