Suami isteri pegawai imigresen dituduh guna wang haram

Suami isteri pegawai imigresen dituduh guna wang haram

Wang haram
SUHANA Ismail dan Mohamad Fazli Abdul Rahim dibawa pegawai SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sepasang suami isteri pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melupuskan wang hasil daripada aktiviti haram.

Malah, lebih satu perempat daripada jumlah tersebut digunakan bagi pembelian emas dekat sebuah kedai di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat.

Bagaimanapun, Mohamad Fazli Abdul Rahim dan Suhana Ismail mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya melibatkan nilai keseluruhan RM404,450.

Di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, Suhana, 44, didakwa menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram dengan memindahkan wang secara berperingkat sebanyak tujuh kali antara RM11,700 hingga RM27,400 berjumlah keseluruhan RM125,800.

Dia dituduh memindahkan wang tersebut daripada akaun milik seorang wanita bernama Mastura bagi pembelian emas antara 12 Ogos 2023 hingga 27 Februari 2024 dekat sebuah cawangan bank di Teluk Panglima Garang.

Sementara di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin, Mohamad Fazli, 46, pula didakwa memindahkan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun milik Mastura dan sebuah perusahaan secara berperingkat juga sebanyak tujuh kali berjumlah RM278,600.

Pemindahan tersebut dibuat antara 2 Julai 2023 hingga 19 Ogos 2024 melibatkan wang tunai antara RM2,400 hingga RM141,950 kepada dua penerima lelaki dan perempuan. Kesalahan itu dilakukan dekat sebuah cawangan bank di Subang Jaya dan Teluk Panglima Garang.

Justeru kedua-duanya dituduh di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)

Sabit kesalahan, kedua-dua ibu bapa kepada tiga anak yang masih bersekolah itu boleh dipenjara sehingga 15 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai daripada aktiviti haram itu atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Awang Kerisnada dan Mohd. Nasir membenarkan Suhana dan Mohamad Fazli masing-masing diikat jamin sebanyak RM40,000 dan RM24,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 Mac.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Alimi Mustapha dan Muhammad Arif Mohd. Khairi sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN