SHAH ALAM: Sudah dipenjara, akhirnya didenda RM40,000 pula. Demikian hukuman dihadapi seorang bekas pengawal keselamatan warga Nepal yang didapati bersalah merogol seekor kucing, di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Hukuman itu diputuskan terhadap Arman Shah selepas dia mengaku bersalah di mahkamah sama pada November lalu atas kesalahan mendera kucing dengan kejam.
Mahkamah turut memerintahkan penjara 15 bulan kepada tertuduh sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Arman, 33, yang masih bujang itu dituduh dengan kejam mendera seekor kucing di tingkat empat sebuah blok pangsapuri di Kota Kemuning, Seksyen 31 pada pukul 12.30 tengah malam, 15 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang sabit kesalahan boleh penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, seorang wanita yang baharu tiba di kawasan parkir dan berada dalam kereta telah melihat tertuduh memegang seekor kucing dan membuka seluar sebelum memasukkan kemaluan dalam tubuh kucing itu.
Pengadu kemudian meminta suaminya menegur perbuatan tertuduh sebelum lelaki itu mendakwa melihat tertuduh dalam keadaan bogel dan kemaluannya berada di tubuh kucing berkenaan.
Bagaimanapun, tertuduh memakai semula seluar sebelum mencampakkan kucing malang itu jatuh ke bawah selepas tindakannya itu disedari. Dia kemudian terus masuk ke rumah sewanya.
Malah, ketika kejadian, pengadu juga sempat merakam video berdurasi 48 saat yang memaparkan tertuduh memegang kucing dan mencampakkan haiwan itu.
Siasatan tempat kejadian mendapati kucing itu telah tiada dipercayai masih hidup, namun terus beredar dari kawasan itu.
Hasil pemeriksaan terhadap pakaian tertuduh yang dirampas mendapati ada bulu kucing.
Arman yang tidak diwakili peguam merayu denda dikurangkan susulan mahu pulang ke Nepal kerana ibunya sakit.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal menegaskan kelakuan tertuduh adalah keterlaluan, kejam dan tidak sepatutnya dinormalisasikan.
“Kes ini mendapat perhatian umum sehingga menimbulkan kemarahan dan kegusaran orang awam. Mohon hukuman berat sebagai pengajaran bukan hanya kepada tertuduh malah orang orang awam,” jelasnya.
Arman kini juga sedang menjalani penjara empat bulan atas kesalahan berpakaian separuh bogel dan memasuki negara tanpa dokumen sah.
16 November lalu, Mingguan Malaysia melaporkan seorang warga Nepal ditahan selepas disyaki meliwat dan melempar seekor kucing dekat sebuah pangsapuri di Kota Kemuning, di sini. – UTUSAN










