KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan penyanyi rap kontroversi, Namewee daripada pertuduhan mengambil dadah pada Oktoer lalu
Majistret, S. Arunjothy membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memaklumkan bahawa keputusan patologi adalah negatif dan pihaknya menarik balik pertuduhan tersebut.
Arunjothy turut memerintahkan agar wang jaminan sebanyak RM2,000 dikembalikan kepada Namewee.
Dalam prosiding tersebut, peguam bela Joshua Tay memaklumkan bahawa laporan patologi Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee adalah negatif sekali gus menunjukkan tiada prospek untuk pendakwaan diteruskan.
Sehubungan itu, Joshua berhujah, tertuduh wajar dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, melalui ujian air kencing, didapati tertuduh memberikan diri sendiri dadah jenis amphetamine, methamphetamine, 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carbolic Acid (THC) dan ketamin ke dalam badannya di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 22 Oktober lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta pengawasan selama dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, lelaki itu masih berdepan pertuduhan memiliki dadah disyaki jenis ekstasi seberat kira-kira 5.12 gram di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay di sini, pada tarikh yang sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama. – UTUSAN










