Kronologi kes 1MDB - Utusan Malaysia

Kronologi kes 1MDB

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

20 September 2018: Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa kali pertama di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

31 Oktober 2018: Kes penyelewengan dana 1MDB dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

21 Disember 2018: Najib memfailkan permohonan untuk menggugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai barisan pendakwaan.

1 Mac 2019: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai barisan pendakwaan. Najib kemudian memfailkan rayuan atas keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan.

21 Mei 2019: Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai barisan pendakwaan. Tertuduh memfailkan rayuan ke atas keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan.

7 Ogos 2019: Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu dan menolak rayuan untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai barisan pendakwaan.

28 Ogos 2019: Perbicaraan kes penyelewengan bermula dengan pihak pendakwaan memanggil Setiausaha Bahagian Kanan Bahagian Kabinet dan Perlembagaan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Farizah Ahmad sebagai saksi pertama.

19 Mei 2020: Perbicaraan bersambung semula setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 ditarik semula.

5 Januari 2021: Perbicaraan bersambung setelah hampir empat bulan ditangguhkan atas pelbagai alasan termasuk Najib perlu menghadiri Sidang Dewan Rakyat dan kuarantin kontak rapat Covid-19 selepas menghadiri Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

25 Ogos 2022: Najib hadir perbicaraan penyelewengan dana 1MDB sebagai banduan setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan menolak rayuannya berhubung tuduhan berkait penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

29 Januari 2023: Ketua Pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengendalikan kes tersebut meninggal dunia pada usia 79 tahun.

2 Februari 2023: Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar telah dilantik menggantikan mendiang Sri Ram bagi mengetuai pasukan pendakwaan.

21 Jun 2023: Saksi pendakwaan ke-42, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan dipanggil untuk mengecam empat rakaman audio. Mohd. Irwan dalam keterangannya menyatakan: “seperti suara Datuk Seri Najib, satu lagi (suara) seperti orang Arab.”

26-27 Julai 2023: Perbicaraan diteruskan dengan saksi daripada BSI Bank Singapore iaitu Kevin Michael Swampillai dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

14 Ogos 2023: Najib memfailkan permohonan agar Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada terus mendengar kes itu selepas hakim terbabit mendedahkan pernah bekerja di firma guaman yang sama dengan Jasmine Loo.

18 Ogos 2023: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menggugurkan Hakim Sequerah daripada mendengar kes dihadapinya.

6 November 2023: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk pinda tiga pertuduhan.

27 April 2024: Perbicaraan kes 1MDB buat pertama kalinya bersidang pada hari Sabtu.

30 Mei 2024: Pendakwaan menutup kesnya selepas 235 hari perbicaraan berlangsung dan 50 orang saksi dipanggil. Pendakwaan turut menawarkan 49 orang saksi kepada pembelaan termasuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

3 Oktober 2024: Hakim Sequerah menetapkan 30 Oktober untuk mengumumkan keputusan di akhir kes pendakwaan sama ada Najib perlu membela diri atau dibebaskan daripada 25 pertuduhan yang dihadapinya.

24 Oktober 2024: Najib menerusi anak lelakinya, Datuk Mohamad Nizar Najib membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia kira-kira tujuh hari sebelum keputusan di akhir pendakwaan diputuskan mahkamah.

30 Oktober 2024: Najib diperintah bela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

2 Disember 2024: Najib mula memberikan keterangan bela diri selaku saksi pertama pembelaan.

Januari 2025: Prosiding perbicaraan kes 1MDB berpindah dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ke Istana Kehakiman, Putrajaya.

6 Mei 2025: Pembelaan menutup kes selepas memanggil 26 orang saksi.

4 November 2025: Pihak-pihak terlibat selesai berhujah di akhir kes pembelaan.

26 Disember 2025: Keputusan akhir pembelaan kes 1MDB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN