Dua wanita didakwa miliki kad pengenalan palsu

Dua wanita didakwa miliki kad pengenalan palsu

JANIDA Daimun (kiri) dan Nuraina Asmawil (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi didakwa atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua wanita warga Filipina mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki kad pengenalan palsu.

Tertuduh, Nuraina Asmawil, 33, dan Janida Daimun, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Shaarmini.

Menurut pertuduhan, Nuraina yang bekerja sebagai penyelia sebuah syarikat pembersihan di pusat beli-belah didakwa memiliki dua kad pengenalan palsu atas nama dua individu berbeza tanpa sebarang kuasa yang sah.

Janida yang bekerja sebagai pekerja pembersihan pula turut didakwa memiliki dua kad pengenalan palsu atas nama seorang individu sebagai identiti dirinya.

Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor, kira-kira jam 7 malam pada 8 Disember lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959.

Mahkamah kemudian memerintahkan setiap tertuduh didenda RM5,000, jika gagal membayar, mereka akan dipenjara enam bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN