KUALA LUMPUR: Seorang penjual daging didakwa di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas pertuduhan secara cuai menyebabkan kematian abang iparnya yang mayatnya ditinggalkan di tepi jalan, 300 kilometer daripada lokasi kejadian, bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Zaid Zakaria, 33, didakwa telah menyebabkan kematian terhadap Nor Azuar Juyob, 43, dengan perbuatan gopoh atau cuai yang tidak terjumlah pada kesalahan mematikan orang secara salah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 8 malam, 28 September lalu di dalam kawasan hutan Taman Pinggiran Batu Caves di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, nya jika sabit kesalahan.
Muhamad Zaid mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Iqbal Azman mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 berserta syarat tambahan agar tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.
Peguam bela, Sukhdev Singh yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung empat anak dan isterinya tidak bekerja.
Pembelaan tidak membantah syarat tambahan yang dimohon pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM6,000 berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan. Mahkamah turut menetapkan 18 Disember ini bagi sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat lelaki dengan kesan tembakan di Semanggol, Perak terbongkar apabila siasatan mendapati mangsa dipercayai ditembak saudaranya yang menyangka haiwan buruan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku ketika suspek dan dua rakannya keluar berburu di Batu Caves, Selangor pada pukul 8 malam pada 28 September lalu.
Menurut Noor Hisam, selepas menyedari mangsa terkena tembakan, mereka berpakat membawa mayat lelaki itu ke Semanggol menggunakan tiga buah kenderaan sebelum ditinggalkan di tepi jalan tidak berturap bagi menyorok kejadian sebenar. – UTUSAN







