Motif lelaki tetak isteri, anak masih dalam siasatan

Motif lelaki tetak isteri, anak masih dalam siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIBU: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan tahanan reman selama enam hari ke atas lelaki yang menetak isteri dan anak perempuannya sehingga menyebabkan kecederaan parah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, reman itu akan berkuat kuasa sehingga 5 November untuk siasatan lanjut khususnya berhubung motif sebenar kejadian, yang setakat ini masih belum dapat dipastikan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Zulkipli berkata kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kawasan perumahan di Lorong Permai Jaya kira-kira pukul 7 pagi semalam, selepas anak wanita terbabit yang berusia 20 tahun menghubungi talian kecemasan memaklumkan dia dan ibunya telah ditetak oleh ayahnya.

Akibat kejadian itu, isteri suspek yang berusia 46 tahun kini berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sibu.

Manakala anak perempuannya yang turut cedera parah di bahagian kepala dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Susulan itu, suspek berusia 57 tahun yang melarikan diri sejurus selepas kejadian berjaya ditahan oleh pasukan bertindak IPD Sibu di kawasan Kanowit kira-kira pukul 4.15 petang hari yang sama.

Zulkipli turut menasihatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi IPD Sibu di talian 084-336144atau Pegawai Penyiasat, Insp. Ahmad Hakimi Abd Azid di talian 011-31873715. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×