TAIPING: Selepas hampir setahun ‘melarikan diri’, seorang bekas pemandu bas persiaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi menghadapi pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang pelancong wanita warga Jepun, tahun lalu.
Tertuduh, Hadzarshah Abu Hassan Al Sha’ari, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang kini bekerja sebagai pemandu lori didakwa telah memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan sepatutnya sehingga menyebabkan kematian penumpang bas, Michiyo Saito di Kilometer 230.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Larut Matang dan Selama pada pukul 1.30 petang, 24 Oktober 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nazura Azman tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh sebelum ini gagal hadir ke mahkamah dan tidak memberi kerjasama kepada polis serta kebimbangan akan melarikan diri di samping kes itu mendapat perhatian kerajaan Persekutuan dan Jepun.
Sementara itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ahmad Mukmin Aimi Azmi yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum dan kegagalan lelaki itu hadir pada prosiding pendakwaan kes Mei lalu disebabkan masalah kesihatan akibat kemalangan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin, iaitu seorang ahli keluarga terdekat dan seorang lagi yang menetap di Perak selain memerintahkan agar lesen memandu tertuduh digantung bermula hari ini sehingga kes selesai.–UTUSAN