Lelaki didakwa ragut rantai, gelang emas tujuh mangsa wanita

Lelaki didakwa ragut rantai, gelang emas tujuh mangsa wanita

MOHAMAD Halikhwan Halbahri dibawa ke mahkamah hari ini dengan tangan kirinya diikat kain anduh bagi berdepan pendakwaan atas tujuh pertuduhan meragut barang kemas beberapa mangsa wanita di sekitar daerah Seremban sejak tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan meragut barang kemas milik beberapa mangsa wanita di sekitar daerah ini sejak Mei 2024 sehingga Ogos lalu.

Tertuduh, Mohamad Halikhwan Halbahri, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.

Difahamkan tertuduh cedera di tangan selepas motosikal yang digunakan untuk melakukan jenayah ragut terbabas selepas bertindak agresif melawan arus ketika cuba melarikan diri dari pihak polis.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah meragut barang kemas iaitu rantai dan gelang tangan emas milik tujuh mangsa wanita berusia 24 hingga 67 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi di sekitar Seremban termasuk di Taman Cengal Utama, Jalan Pantai-Seremban, Taman Tuanku Jaafar, Taman Bandar Senawang, Taman Bukit Ampangan dan Paroi pada 23 Mei 2024 hingga 26 Ogos lalu.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Nurnadiahani Mohd. Ideris menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan paling minimum kerana hanya membantu ibunya berniaga lemang dengan pendapatan RM500 sebulan malah ibunya seorang ibu tunggal.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin keseluruhan RM45,000 bagi kesemua tujuh pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan dan tidak menganggu saksi secara persendirian atau pihak ketiga.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 18 November depan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, hasil soal siasat yang dijalankan mendapati suspek berusia 35 tahun itu mengaku terlibat dalam 21 kes jenayah ragut di sekitar Seremban.

Mohamad Hatta berkata, suspek telah ditahan pihak polis semasa pemantauan Op Sentap di Taman Tuanku Jaafar, Senawang di sini pada 25 September lalu.

Beliau berkata, suspek yang menunggang motosikal Honda RS150 dengan nombor pendaftaran palsu bertindak agresif serta hendak melanggar anggota polis ketika cuba melarikan diri sebelum ditahan selepas motosikalnya terbabas.

Dengan tertangkapnya suspek, pihak polis berjaya menyelesaikan 21 kes jenayah ragut di Seremban. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN