Lelaki Pakistan mengaku tidak bersalah curi petrol daripada motosikal

Lelaki Pakistan mengaku tidak bersalah curi petrol daripada motosikal

SEORANG lelaki warga Pakistan, Dilawar Khan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mencuri minyak petrol sebuah motosikal dI Mahkamah Majistret, Johor Bahru, di sini hari ini. - UTUSAN/ BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencuri petrol daripada sebuah motosikal di pangsapuri Forest City, Iskandar Puteri, dua minggu lalu.

Tertuduh, Dilawar Khan, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa mencuri dua botol petrol berkapasiti 2.5 liter daripada motosikal milik seorang lelaki pada kira-kira pukul 7.30 pagi, 11 Ogos lalu di kawasan tempat letak kenderaan pangsapuri berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan dengan niat curang dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh. Namun, beliau memohon jumlah jaminan lebih rendah memandangkan tidak berkemampuan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin tempatan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 September depan bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.

Dilawar turut berdepan satu lagi pertuduhan berasingan yang ditangguhkan ke tarikh sama bagi mendapatkan khidmat jurubahasa Pakistan. Bagi kes tersebut, Majistret A. Shaarmini tidak membenarkan jaminan kerana pertuduhan masih belum dibacakan.

Pada hari kejadian, polis menahan seorang wanita warga emas bersama lelaki warga asing selepas disyaki mencuri petrol daripada motosikal di kawasan sama. Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kejadian itu terbongkar apabila pemilik motosikal terserempak dengan suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan ketika cuba mengalirkan minyak ke dalam botol plastik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×