Ibu Allahyarham Syamsul mahu punca kematian sebenar diketahui

Ibu Allahyarham Syamsul Haris mahu punca kematian sebenar diketahui

Syamsul Haris
UMMU Haiman Bee Daulatgun (kanan)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ibu pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawa Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin mahu punca kematian anaknya itu dikenal pasti.

Ummu Haiman Bee Daulatgun berkata, dia mengharapkan laporan keputusan bedah siasat yang telus dan satu siasatan dilakukan tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Saya berterima kasih atas keputusan mahkamah dan juga kerajaan kerana memberi ruang atau kebenaran atas permohonan untuk menggali semula kubur anak saya bagi membolehkan bedah siasat dilakukan semula.

“Buat masa sekarang kita jalankan bedah siasat dan tengok keputusan dahulu, itu langkah pertama. Sekurang-kurangnya kita hendak tahu punca kematian sebenar, itu kena tahu dahulu. Kemudian baru kita fikir langkah seterusnya,” katanya, ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan menggali semula kubur Allahyarham Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Rinching Ulu, Hulu Langat bagi membolehkan bedah siasat dilakukan sekali lagi.

Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh bagi membolehkan siasatan semula dilakukan terhadap kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sementara itu, peguam yang mewakili ibu tunggal itu, Datuk Naran Singh berkata, Kementerian Pertahanan diharapkan membuka semula siasatan susulan kebenaran mahkamah membenarkan kubur allahyarham digali semula dan bedah siasat kali kedua dilakukan.

Menurutnya, beliau juga dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa dalam penyiasatan baharu, malah menegaskan sanggup memberi perkhidmatan secara percuma kepada anak guamnya.

“Tiada masalah, saya akan hadir apabila dipanggil untuk memberi keterangan. Saya terlibat dalam hal ini, Ketua Polis Negara, polis dan majlis agama (pihak berkuasa agama Islam) juga terlibat.

“Jadi mereka akan tetapkan satu tarikh. Dalam tempoh 14 hari mesti jalankan sesuatu (bedah siasat). Saya percaya mereka akan uruskan. Kita kena hromat majlis agama (pihak berkuasa agama Islam) dan polis sebagai pasukan keselamatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN