MELAKA: Sebuah syarikat dan bekas pengarahnya masing-masing didenda RM7,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM139,755.25 bagi tempoh 2021 hingga 2023.
Hakim Haderiah Siri membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan salah orang kena cukai (OKC), Go Lounge Sdn. Bhd. dan Ng Wen Hua, 31, sejurus lima pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua OKC didapati gagal membayar kepada Ketua Pengarah Kastam amaun cukai perkhidmatan yang genap masa dan kena dibayar bagi tempoh bercukai 1 November hingga 31 Disember 2021; 1 Januari hingga 28 Februari dan 1 Mei hingga 30 Jun 2022; 1 Julai hingga 31 Ogos dan 1 September dan 31 Oktober 2023 sebagaimana yang ditetapkan di bawah Subseksyen 26 (4) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.
Jumlah cukai perkhidmatan yang gagal dibayar dan penalti bagi tempoh tersebut masing-masing berjumlah RM99,825.18 dan RM39,930.07.
Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wisma Kastam Negeri dalam daerah Melaka Tengah pada 1 Februari, 1 April dan 2 Ogos 2022 serta pada 3 Oktober dan 1 Disember 2023.
Sabit kesalahan, kedua-dua OKC boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 26 (8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dibaca bersama Seksyen 78 (1) (a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 26 (8) akta sama.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM7,500 kepada setiap OKC bagi kesemua pertuduhan dan lima bulan penjara jika Wen Hua gagal membayar denda tersebut. – UTUSAN










