Doktor didakwa palsukan dokumen pendaftaran pekerja

Doktor didakwa palsukan dokumen pendaftaran pekerja

WINNIE Ong Beng Cheentiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang doktor didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen iaitu borang pendaftaran pekerja domestik, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Dr. Winnie Ong Beng Cheen, 44, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Berdasarkan pertuduhan, ibu tunggal kepada empat anak itu didakwa memperdaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mempercayai bahawa borang pendaftaran pekerja domestik yang ditandatangani oleh Cheah Chyuan Yong adalah benar.

Tertuduh didakwa dengan sengaja mendorong Perkeso untuk mendaftar pekerja domestik warga Indonesia, Nurhayati Hasan sehingga menyebabkan Cheah Chyuan Yong diperdaya untuk membuat caruman sebanyak RM20.60 sebulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 22A, Jalan Mesra, Taman Saujana Permai, Bukit Mertajam pada 21 November 2022.

Atas kesalahan itu, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari manakala tertuduh diwakili peguam, Chiang Kian Hong.

Nor Shakila kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, dalam rayuannya, Kian Hong memohon agar mahkamah menetapkan jaminan minimum selain tidak menerima syarat tambahan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Nurul Rasyidah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, tertuduh turut menarik perhatian ketika tiba di mahkamah apabila menunjukkan tanda ‘peace’ ke arah lensa kamera ketika gambarnya dirakam oleh beberapa pengamal media sambil berkata: “Ambil lagi gambar saya.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN