SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan perbicaraan kes saman Tun Dr. Mahathir Mohamad berjumlah RM150 juta terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijalankan selama tiga hari mulai 21 Oktober depan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Donald Joseph Franklin memutuskan demikian selepas meneliti permohonan kedua-dua pihak bagi penangguhan tarikh bicara terdahulu pada esok dan lusa.
Terdahulu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu memberitahu pihaknya belum menerima arahan berkaitan penyata saksi kes.
“Terdapat isu mengenai fakta dan perkara yang tidak diselesaikan termasuk penyata itu serta dokumen tambahan lain. Oleh itu, ia memerlukan tarikh lain dan kami tiada bantahan meneruskan pendengaran kes selepas ini. Mohon mahkamah memberi tarikh baharu,” katanya pada prosiding pengurusan kes itu.
Tambah beliau, pihak plaintif turut memohon tarikh sebutan dan perbicaraan paling awal dengan mengambil kira faktor usia Dr. Mahathir.
Sementara itu, peguam Ranjit Singh yang mewakili Anwar tidak membuat bantahan dan memaklumkan pihaknya turut perlu melengkapkan semua dokumen berkaitan.
Donald kemudian membenarkan permohonan itu dengan turut menetapkan tarikh-tarikh bagi mengemukakan dokumen termasuk penyata saksi.
“Prosiding pengurusan kes secara fizikal yang terakhir pada 7 dan 8 Oktober manakala perbicaraan ditetapkan pada 21, 23 dan 29 Oktober depan. Saya berharap kedua-dua pihak membuat yang terbaik dalam menguruskan dokumen itu sebelum tarikh perbicaraan kelak,” jelasnya.
Terdahulu, Dr. Mahathir yang berpakaian kot tiba di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, bagi menghadiri prosiding itu, kira-kira pukul 10.30 pagi.
Kehadiran negarawan berusia 100 tahun itu menarik perhatian orang ramai yang berada di lobi mahkamah dengan turut dikawal ketat oleh polis.
Pada 3 Mei 2023, Dr. Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan ketika Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme di Shah Alam, 18 Mac tahun sama.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menuntut ganti rugi am RM50 juta dan teladan sebanyak RM100 juta.
Dalam pernyataan tuntutan, Dr. Mahathir mendakwa Anwar selaku defendan tunggal mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur fitnah bagi menjatuhkan reputasinya sebagai negarawan dan bekas Perdana Menteri.
Ia termasuk kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk anak dan keluarganya selain memberi layanan khas atau mengutamakan individu berpangkat tinggi.
Pada 14 Jun tahun sama, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam penyataan pembelaan mendakwa, saman Dr. Mahathir sebagai melemahkan kredibilitinya selaku Perdana Menteri dan mewujudkan perpecahan kaum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Berdasarkan Sijil Perakuan Segera difailkan plaintif, ia menyatakan tindakan saman mesti dilupuskan segera kerana enam negeri ketika itu akan membubarkan sidang DUN bagi memberi laluan kepada PRN.
Selain itu, beliau membangkitkan isu pemberian kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn. Bhd. yang mana anak ketiga Dr. Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz adalah pengarah syarikat berkenaan pada 30 Mac 1994 hingga 14 Oktober 2009. – UTUSAN










