Hukuman penganjur perhimpunan bertentangan Perlembagaan

Hukuman penganjur perhimpunan bertentangan Perlembagaan

TENGKU MAIMUN TUAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Denda RM10,000 yang dikenakan terhadap penganjur perhimpunan yang gagal memberikan notis lima hari kepada pihak berkuasa adalah penafian terhadap hak sama rata di bawah undang-undang.

Berdasarkan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, semua warga negara adalah sama di sisi undang-undang dan layak mendapat perlindungan sama rata.

Bagaimanapun, selepas meneliti kesemua hujah yang dikemukakan, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) itu adalah adalah bertentangan dengan peruntukan Perkara 8 itu.

“Peruntukan 9(5) APA menghukum penganjur perhimpunan dan bukannya peserta perhimpunan. Penganjur akan tetap dikenakan hukuman walaupun perhimpunan dijalankan dan berakhir secara aman hanya kerana tidak mematuhi Seksyen 9(1) (memberi notis lima hari),” kata Hakim Tengku Maimun.

Selain itu, panel terbabit sebulat suara memutuskan bahawa Seksyen 9(5) itu bertentangan dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

“Kami mendapati bahawa subseksyen 9(5) adalah satu sekatan yang bersifat diskriminasi dan secara tidak seimbang mengehadkan hak kebebasan berhimpun secara aman yang dijamin oleh Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila meneliti subseksyen 9(5) APA dan implikasinya secara keseluruhan, kami dapati hujahan pemohon bahawa subseksyen 9(5) lebih merupakan satu larangan menyeluruh daripada satu sekatan adalah berasas.

“Pada pemahaman kami, perkataan ‘sekatan’ mencadangkan bahawa perbuatan yang dimaksudkan adalah dibenarkan tetapi Parlimen boleh mengenakan sekatan atau peraturan tertentu mengenai cara pelaksanaannya. Sebaliknya, ‘larangan’ adalah penafian sepenuhnya terhadap sesuatu hak,” kata Hakim Tengku Maimun.

Panel terbabit membuat keputusan itu dalam kes bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abdul Hadi bagi menentukan keabsahan peruntukan Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung pertuduhan ke atas Amir Hariri dalam prosiding jenayah terhadapnya di Mahkamah Majistret, tiga tahun lalu.

Pada 26 Ogos 2022, Amir Hariri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan berkaitan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan pada 14 Ogos 2022.

Selaku penganjur, beliau didakwa gagal memaklumkan pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lim hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada 2 petang, 14 Ogos 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN