Bekas penjaga stor tikam teman 7 kali, terlepas hukuman mati

Bekas penjaga stor tikam teman 7 kali, terlepas hukuman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang wanita yang disabitkan membunuh teman rapatnya dengan menikam mangsa sebanyak tujuh kali pada 2010, dijatuhi hukuman penjara 33 tahun selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman mati terhadapnya.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan bekas penjaga stor, Ooi Ai Peng, 46.

Beliau yang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara memerintahkan hukuman pemenjaraan itu berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkap pada 13 Mac 2010.

Peguam T. Jayaraj yang mewakili wanita tersebut memohon mahkamah mengetepikan hukuman mati kerana pemohon telah menjalani hukuman penjara selama 14 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi pula membantah permohonan itu dan mencadangkan hukuman pemenjaraan sekurang-kurangnya 33 tahun perlu dikenakan terhadap pemohon.

Wanita itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 2011 kerana membunuh Suhana Mohd. Sharif, 26, di luar premis bernombor 167, Taman Kristal Mergong, Alor Setar kira-kira pukul 9.30 malam pada 3 Mac 2010.

Rayuan Ai Peng ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing pada 2013 dan 2014.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam 4 Mac 2010, Suhana ditikam tujuh kali sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada pukul 11.35 malam hari yang sama.

Pada hari yang sama Ai Peng bertindak menikam diri serta mengelar pergelangan tangannya.

Kedua-dua wanita itu yang juga rakan sekerja di sebuah kedai alat tulis di Alor Setar, dipercayai berselisih faham sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×