Bapa tiri, abang kandung mengaku rogol remaja 15 tahun

Bapa tiri, abang kandung mengaku rogol remaja 15 tahun

BAPA tiri dan abang kandung mangsa dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan merogol remaja perempuan berusia 15 tahun di Mahkamah Sesyen Baling. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Penderitaan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun akibat dirogol bapa tiri dan abang kandung berakhir apabila kedua-dua lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 49 dan 17 tahun mengaku bersalah sebaik pertuduhan rogol terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Najwa Che Mat. 

Lelaki berusia 49 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan didakwa merogol anak tirinya itu di sebuah rumah, di sini kira-kira pukul 4 petang, 24 Jun lalu.

Sementara, seorang lagi tertuduh yang merupakan abang kandung mangsa dituduh melakukan kesalahan sama kira-kira pukul 10 pagi, 15 Jun lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 10 Ogos depan bagi serahan laporan perubatan mangsa bagi kes dihadapi bapa tiri kepada remaja wanita terbabit serta dibenarkan diikat jamin sebanyak RM30,000.

Sementara bagi pertuduhan dihadapi abang kandung mangsa, mahkamah menetapkan 30 Oktober depan untuk laporan akhlak tertuduh dengan dia dibenarkan diikat jamin sebanyak RM4,000.

Pada prosiding sama, bapa tiri mangsa dihukum penjara 15 bulan bermula dari tarikh tangkap selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan lucah berupa gambar dan video dalam telefon bimbit di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling pada pukul 3.40 petang, 27 Jun lalu. 

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, ibu kandung mangsa berusia 45 tahun didenda RM2,000 atau penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal melaporkan jenayah seksual terhadap anaknya kepada pihak polis.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah menengah di Jalan Baling di sini pada pukul 10 pagi, 24 Julai tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN