Tukang jahit mengaku tak bersalah cabul remaja OKU

Tukang jahit mengaku tak bersalah cabul remaja OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang tukang jahit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU), bulan lalu.

Tertuduh, Ahmad Nizar Ahmad Aminudin, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencabul kehormatan mangsa yang ketika kejadian berumur 17 tahun, di sebuah tandas di Taman Keramat, di sini pada pukul 6.30 petang, awal Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan,atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan memohon syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mendekati mangsa serta saksi-saksi pendakwaan memandangkan remaja perempuan berkenaan merupakan OKU kategori Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

Bagaimanapun, peguam bela Lingswaran Singh yang mewakili Ahmad Nizar memohon jumlah ikat jamin minimum kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai tukang jahit dan perlu menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 bersama syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 21 Julai depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN