PUTRAJAYA: Public Bank Berhad diperintah membayar ganti rugi RM90 juta kepada National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) dan empat yang lain oleh Mahkamah Persekutuan, semalam.
Ganti rugi itu berkaitan dengan kes saman difailkan NFCorp dan empat yang lain pada 22 Mei 2012 kerana mendakwa maklumat sulit dan rahsia perbankan mereka telah disebarkan kepada umum oleh bank itu.
Selain NFCorp, empat pihak lain ialah Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohamad Salleh Ismail serta tiga anak syarikat iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd.
Mohamad Salleh merupakan suami kepada bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais memutuskan bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila tidak memberikan ganti rugi.
Pada 30 Ogos 2023, Mahkamah Rayuan memutuskan NFCorp dan empat yang lain hanya layak mendapat ganti rugi nominal RM10,000 selepas berjaya membuktikan liabiliti tetapi gagal membuktikan ganti rugi.
Hakim Hasnah berkata, selepas meneliti segala hujahan, laporan dan penyata kewangan syarikat, panel mendapati bahawa syarikat-syarikat itu telah mengalami kerugian yang turut mempengaruhi reputasi mereka.
Katanya, Public Bank tidak menafikan atau mencabar laporan kewangan atau akaun NFCorp yang telah diaudit, sebaliknya hanya mencabar kredibiliti saksi pakar tersebut.
Panel kemudian memerintahkan Public Bank membayar RM30 juta, masing-masing bagi ganti rugi saksama (equitable damages), ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Public Bank turut dikenakan faedah sebanyak dua peratus atas jumlah ganti rugi tersebut sehingga pembayaran penuh diselesaikan.
Sebelum ini, NFCorp dan empat yang lain menuntut RM60 juta untuk ganti rugi am, RM250 juta untuk ganti rugi teladan dan RM250 juta untuk ganti rugi teruk yang kesemuanya berjumlah RM560 juta.
Pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman tersebut selepas mendapati NFCorp gagal membuktikan kes terhadap Public Bank selaku defendan. – UTUSAN