Pengusaha tahfiz berdepan tuduhan dera diberi amaran tidak ganggu saksi

Pengusaha tahfiz berdepan tuduhan dera diberi amaran tidak ganggu saksi

SHAHRIL Bani Mansor (tengah) didakwa di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 atas tuduhan mengabaikan seorang pelajar lelaki berusia 12 tahun di Mahkamah Sesyen Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memberi amaran keras kepada seorang pengusaha tahfiz yang sedang dibicarakan atas tuduhan mendera pelajarnya agar tidak mengganggu saksi atau berdepan tindakan penarikan balik jaminan serta ditahan reman sehingga perbicaraan selesai.

Hakim Azman Abu Hassan memberi amaran itu kepada tertuduh, Shahril Bani Mansor, 42, selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha bahawa isteri kedua tertuduh telah mengambil gambar kereta keluarga salah seorang saksi dan menyebarkan kepada pihak ketiga.

“Jika kamu, ahli keluarga atau rakan-rakan kamu mengganggu saksi sekali lagi, saya tidak teragak-agak arahkan siasatan menyeluruh dijalankan dan jaminan kamu akan ditarik balik serta ditahan dalam lokap sehingga perbicaraan selesai. Mahu begitu?” katanya.

Shahril bagaimanapun menafikan mengetahui kejadian itu, mendorong mahkamah memanggil isteri keduanya, Ismaliza Ismail, yang berada di galeri awam untuk memberi penjelasan.

Ismaliza mengaku bahawa beliau berhubung dengan seorang pihak ketiga yang bertanya sama ada kes boleh diselesaikan di luar mahkamah, namun beliau menafikan ia boleh dilakukan kerana kes telahpun dibicarakan.

Wanita terbabit turut mengakui mengambil gambar kereta keluarga saksi kerana mendakwa ada individu dari pihak mangsa merakam video mereka ketika di dalam mahkamah dan memuatnaik ke status WhatsApp.

Susulan itu, Hakim Azman sekali lagi menegaskan bahawa tiada pihak termasuk ahli keluarga tertuduh boleh mengganggu saksi dan menasihatkan semua pihak agar tidak melayan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa boleh menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Peguam bela tertuduh, Aqbal Shiffuddin Adnan Sallehudin, memohon agar jaminan anak guamnya tidak ditarik balik memandangkan Shahril tidak mengetahui tindakan isterinya. 

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan diteruskan dengan amaran keras dan menetapkan 26 dan 27 November depan sebagai tarikh perbicaraan.

Pada Mac lalu, Shahril Bani didakwa di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 atas tuduhan mengabaikan seorang pelajar lelaki berusia 12 tahun, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di Pusat Tahfiz Maahad An-Nur, Kampung Bukit Inas, Bedong, kira-kira pukul 7.25 pagi, 1 April 2024.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya. Ketika ini, Shahril dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM3,000 sementara menunggu perbicaraan selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN