Keputusan DNAA Najib diketahui 20 Jun ini

Keputusan DNAA Najib diketahui 20 Jun ini

NAJIB Tun Razak hadir pada keputusan representasi bagi menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) berjumlah RM27 juta akan diputuskan 20 Jun ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat, semalam.

Pada tarikh tersebut, sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada Najib, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk perbicaraan membabitkan kes pengubahan wang haram itu.

Kes berkenaan boleh dianggap sebagai kes terakhir dihadapi Najib.

Sebelum ini, Najib didakwa atas pertuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International yang mana bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Najib juga pernah didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 juta berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah, namun diberikan DNAA pada 27 November 2024.

Pada 3 Mac 2023, Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan meminda laporan audit 1MDB tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan tersebut.

Pada 21 Oktober ini, Mahkamah Tinggi akan mendengar hujahan di akhir pembelaan bagi kes penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan mah kamah bahawa Jabatan Pe guam Negara (AGC) telah menolak representasi yang dihantar Najib pada 31 Julai 2023 untuk menggugurkan tiga pertuduhan tersebut.

Katanya, pihaknya bersedia untuk meneruskan perbicaraan kes itu, namun memohon satu tempoh yang panjang bagi membolehkan mereka mengesan dan mendapatkan 807 eksibit yang sebelum ini dikemukakan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

“Eksibit-eksibit tersebut telah dikemukakan sewaktu perbicaraan di Mahkamah Tinggi 3 dan sebahagian besarnya diperlukan dalam perbicaraan kali ini. Satu permohonan rasmi perlu dibuat bagi mendapatkan eksibit-eksibit itu yang berada dalam simpanan mahkamah.

“Kali terakhir pihak pendakwaan melihat eksibit-eksibit tersebut adalah sewaktu perbicaraan (penyelewengan dana RM42 juta) pada 2020 dan kami kurang pasti keberadaan eksibit tersebut sekarang.

“Usaha untuk mengesan dan mendapatkan eksibit tersebut akan mengambil masa dan disebabkan itu pihak pendakwaan memohon agar tarikh perbicaraan ditetapkan sedikit lewat bagi membolehkan kami mengumpul semua dokumen dan menyediakan penyataan saksi,” kata Ashrof Adrin.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon DNAA terlebih dahulu sementara pihak pendakwaan mengumpulkan segala dokumen berkaitan.

“Kes ini telah dipertuduhkan sejak 2019 dan telah tertangguh sejak enam tahun lalu. Dokumen berkaitan SRC International berada di pelbagai mahkamah termasuk di Mahkamah Persekutuan dan mahkamah sivil.

“Pihak pembelaan mencadangkan (perintah) DNAA diberikan bagi tidak memberikan beban kepada doket mahkamah dan pihak pendakwaan boleh menyediakan dokumen berkaitan tanpa sebarang prejudis.

“Perintah DNAA adalah sesuatu yang wajar dalam situasi ini memandangkan tarikh perbicaraan juga masih belum pasti bila. Tertuduh tidak wajar dibiarkan menunggu tanpa satu tarikh bicara yang pasti. Keadilan menuntut kejelasan dan kepastian untuk keduadua pihak,” kata Muhammad Shafee.

Kes pengubahan wang haram RM27 juta itu sepatutnya mula dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) pada 5 Julai 2021, namun ditangguhkan selepas pihak pembelaan memaklumkan tarikh perbicaraan bertindih dengan bicara kes-kes jenayah dan sivil yang dihadapi Najib ketika itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×