Empat anggota polis termasuk ASP tidak mengaku bunuh tahanan

Empat anggota polis termasuk ASP tidak mengaku bunuh tahanan

GAMBAR HIASAN (MAHKAMAH)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Empat anggota polis termasuk seorang pegawai, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh sehingga menyebabkan kematian seorang tahanan di Langkawi, tahun lalu.

Tertuduh, Asisten Superintenden (ASP) Azhar Mohd. Amir, 46; Koperal Shahril Firdaus Solleh, 37; Koperal Mohd. Shaharri Mat Saad, 37; dan Lans Koperal Arehan Roslee, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menyebabkan kematian Mohamad Hafiz Salleh ketika itu berusia 32 tahun, di Pejabat Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi antara pukul 6.05 petang hingga 8 malam, 29 Januari 2024.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliza Md. Zain manakala Azhar, Shahril dan Mohd. Shaharri diwakili peguam, Amrick Singh Sandhu sementara Arehan diwakili peguam, Hari Prassaad Rao.

Mahkamah menetapkan 17 Ogos untuk sebutan semula kes.

Pada 24 Julai tahun lalu, akhbar ini melaporkan tiga pegawai dan anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Langkawi atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang ditahan BSJN IPD Langkawi pada Januari tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh yang bertugas di BSJN IPD Langkawi itu ialah Azhar, Shahril Firdaus dan Mohd. Shaharri. 

Dalam kejadian itu, Mohamad Hafiz meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini selepas ditahan polis dalam kejadian pada 29 Januari tahun lalu.

Mangsa didakwa dicederakan ketika operasi narkotik di sebuah stesen minyak di Ayer Hangat, Langkawi. 

Mengikut rekod, mangsa mengalami kecederaan di kening kanan, leher sebelah kiri, telinga, lutut dan tangan kanan, manakala pegawai tangkapan dan tiga anggota lain mengalami kecederaan kecil di bahagian badan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN