MELAKA: Seorang calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh ibu dan abang kandungnya, minggu lalu.
Tertuduh berusia 17 tahun itu hanya mengangguk faham sebaik dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian terhadap seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing berusia 51 dan 21 tahun di sebuah rumah bernombor di Taman Rambai Mutiara dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 5 pagi dan 5.30 pagi pada 12 Jun 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah dihukum minimum 12 sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
Tertuduh turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 326 KK kerana mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang juga adiknya menggunakan pisau lipat di lokasi, masa dan tarikh sama.
Kesalahan itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Roslan tidak menawarkan sebarang jaminan manakala peguam Cassian Anthony tidak mengemukakan bantahan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Cassian selepas prosiding memaklumkan, terdapat pihak yang mengenali tertuduh memberitahunya bahawa remaja itu mungkin mengalami masalah mental.
“Pihak yang kenal tertuduh (beritahu) bahawa remaja itu memang ada sedikit masalah mental. Namun, kita akan meneliti semula sebelum membuat sebarang permohonan bagi membolehkan dia dirujuk kepada doktor pakar di Hospital Bahagia pada tarikh sebutan akan datang,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang guru wanita bersama anak sulungnya ditemui meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah di sebuah rumah di Taman Rambai Mutiara.
Seorang lagi anak lelaki mangsa turut ditemukan dalam keadaan parah akibat ditikam di hadapan rumah berkenaan.
Motif kejadian dipercayai akibat dendam kerana kedua-dua mangsa dikatakan sering memarahi tertuduh dan memaksanya untuk belajar kerana akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini. – UTUSAN










