AGC gesa orang awam tidak cetus spekulasi kes Yusoff Rawther

AGC gesa orang awam tidak cetus spekulasi kes Yusoff Rawther

MUHAMMED YUSOFF RAWTHER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak digesa untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat spekulasi dan berbaur fitnah berhubung keputusan kes membabitkan seorang bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff RawtherYusoff Rawther.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan, sebarang bentuk keputusan keadilan tidak boleh terjejas oleh perbicaraan media, sindiran awam, kedudukan atau persepsi.

“Apatah lagi jika kenyataan tersebut dibuat di luar skop alasan keputusan yang diberikan oleh mahkamah.

“Jabatan ini kekal komited dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya menurut Perlembagaan dengan berintegriti, saksama dan menghormati proses pengadilan,” katanya hari ini.

Semalam, Muhammed Yusoff yang merupakan bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik dilepaskan dan dibebaskan tanpa membela diri daripada dua pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan, tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan terhadap tertuduh yang berusia 32 tahun.

Menurut AGC, pihaknya akan meneliti keputusan dan mempertimbangkan semua aspek berkenaan sebelum membuat tindakan selanjutnya.

Katanya, AGC menghormati keputusan mahkamah itu dan mengambil maklum alasan keputusan diberikan dalam kes tersebut kerana tujuan sesuatu pendakwaan dijalankan adalah untuk memastikan keadilan tercapai berdasarkan bukti dan nas undang-undang.

“Jabatan ini menyedari bahawa kes ini telah menarik perhatian umum. Sepanjang prosiding, Jabatan ini telah bertindak menurut batas kebebasan pendakwaan dan proses undang-undang.

“Pendakwaan telah dijalankan berdasarkan penelitian secara berhati-hati terhadap bukti yang tersedia dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN