Warga India didakwa pecah amanah RM141,486.12

Warga India didakwa pecah amanah RM141,486.12

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM141,486.12, empat tahun lalu. 

Tertuduh, Rajinder Singh, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pecah amanah wang syarikat, Vantage Trading Partners di syarikat berkenaan di Menara Ilham, Jalan Binjai di sini, pada 13 Oktober dan 26 November 2021. 

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau maksimum 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pengarah itu juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menggunakan wang milik syarikat sama berjumlah RM141,486.12  yang mana wang itu dalam jagaan tertuduh sebagai pemegang kuasa tanpa persetujuan atau ratifikasi mesyuarat agung, di lokasi dan tarikh serupa.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 218 (1) (a) Akta Syarikat Malaysia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 218 (2) akta sama, yang berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir tidak menawarkan sebarang jaminan.

“Sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh diikat jamin, kami memohon jaminan RM70,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran kediaman,” katanya. 

Sementara itu, peguam bela, Daniel Annamalai yang mewakili Rajinder memohon wang jaminan rendah atas alasan tertuduh perlu menanggung isteri serta dua anak masing-masing berumur 17 dan 12 tahun.

“Tertuduh tidak berpotensi untuk melarikan diri kerana beliau tinggal di negara ini selama tujuh tahun dan mempunyai perniagaan di Malaysia, India, Bangladesh dan Indonesia,” kata peguam itu. 

Peguam itu juga memohon agar pasport antarabangsa tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah memandangkan pekerjaan tertuduh memerlukannya untuk ke luar negara.

“Sekiranya mahkamah memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, kami mohon ia diserahkan minggu depan kerana tertuduh mempunyai perjumpaan dengan Presiden Indonesia Rabu ini dan telah menempah tiket penerbangan. Anak guam juga bersetuju untuk melapor di balai polis,” katanya lagi. 

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan sebutan kes pada 5 Jun ini  dan tidak membenarkan jaminan.

“Prinsip jaminan adalah untuk memastikan sama ada tertuduh hadir atau tidak ke mahkamah. Tertuduh serta isterinya adalah warga asing dan negara ini bukan tanah air mereka. Oleh itu, jaminan tidak dibenarkan,” kata Zulqarnain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya