KUALA LUMPUR: Tiga lelaki dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melakukan khianat dengan menyimbah cat di sebuah kediaman, dua bulan lalu.
Majistret Mageswary Subramaniam menjatuhkan hukuman itu selepas dua juruteknik, Chin Zi Ping, 34, dan Ooi Hong Leong, 38, serta pengurus, Tieu Boon Chow, 34, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.
Mahkamah turut memerintahkan agar hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan 16 April lalu.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan sengaja menyimbah cat di bahagian luar sebuah rumah, sebuah kereta Perodua Axia dan motosikal Y135 milik penyewa rumah berkenaan sehingga menyebabkan kerugian melebihi RM10,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 4.50 pagi, 29 Mac lalu di Taman Angkasa Batu Enam, Brickfields di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Dalam prosiding hari ini, peguambela, Nurul Diyana Basher dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili ketiga-tiga tertuduh merayu agar hukuman paling minimum dikenakan terhadap anak-anak guamnya kerana mereka telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan kes dijalankan.
“Mereka memohon maaf kepada semua pihak dan memohon agar hukuman pemenjaraan sahaja diberikan,” kata peguam itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad memohon agar mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh.
“Mahkamah harus mengambil kira jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa,” katanya. – UTUSAN