KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 8 Julai ini untuk keputusan taksiran ganti rugi yang bakal diperoleh Datin Seri Rosmah Mansor berkait kes saman fitnah yang difailkan wanita itu terhadap seorang pemilik akaun TikTok.
Ganti rugi itu diperolehi Rosmah selepas Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh membenarkan permohonan penghakiman ingkar pada 28 Mei 2024 ekoran kegagalan defendan, Ku Muhammad Hilmie Ku Din memasukkan kehadiran.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Rosmah ketika dihubungi media selepas tamat prosiding secara dalam talian. Turut hadir pada prosiding itu ialah peguam-peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan R. Sureshmurti.
Ujar Abu Bakar, sewaktu pihaknya menghujahkan berhubung taksiran ganti rugi tersebut, Mahkamah telah mengemukakan persoalan undang-undang dan Mohamed Baharudeen emmohon untuk memfailkan hujahan ringkas bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan.
Mahkamah kemudian memerintahkan hujahan berkait persoalan undang-undang itu difailkan dalam masa dua minggu bermula hari ini.
Menurut saman yang difailkan Rosmah pada 19 September 2023, wanita itu mendakwa Ku Muhammad Hilmie telah memuat naik satu rakaman video di akaun TikTok milik defendan yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar terhadap plaintif pada 22 Mac 2023.
Rosmah mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau melakukan perbuatan berdosa, dikaitkan dengan aktiviti melibatkan syaitan, bomoh serta seorang individu yang jahat dan mengamalkan perbuatan syirik.
Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu memprejudiskan reputasinya selaku isteri Perdana Menteri Malaysia keenam dan penaung badan-badan amal di negara ini yang dikenali umum.
Rosmah mendakwa akibat kenyataan fitnah itu, beliau dipandang serong oleh orang awam, dicemuh dan dihina sekaligus mencemarkan reputasinya selaku figura yang dikenali oleh masyarakat umum.
Sehubungan itu, beliau menuntut antara lain ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah yang dianggap sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN