Yasin bebas penjara dan sebat diarah kembali ke Hospital Bahagia

Yasin bebas penjara dan sebat diarah kembali ke Hospital Bahagia

MUHAMMAD Yasin Sulaiman diiring pegawai penjara tiba bagi pendengaran rayuan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan berkaitan dadah di Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Walaupun terlepas daripada hukuman penjara seumur hidup dan 16 kali sebatan, penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman masih akan ditahan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.

Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, 50, perlu berada di hospital terbabit selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.

Panel tiga Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali yang bersidang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara memutuskan demikian selepas mengetepikan hukuman dijatuhkan di Mahkamah Tinggi, Shah Alam.

Ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit, Hakim Che Mohd. Ruzima berkata, mahkamah mengambil kira rekod dan keterangan saksi pembelaan pertama (SD1), Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Dr Ian Llyod Anthony berkaitan ketidakwarasan daripada segi undang-undang (legal insanity).

“Selepas kami membuat pertimbangan ke atas hujahan dan meneliti autoriti yang dikemukakan, kami berpandangan D121 (laporan perubatan mental dikeluarkan Dr. Ian) dan keterangan yang dikemukakan SD1 bukanlah keterangan dengar cakap.

“Ini kerana D121 dan keterangan SD1 di mahkamah adalah diasaskan kepada pemeriksaan dan pemerhatian terhadap perayu secara terus. Oleh itu, kami dapati hakim Mahkamah Tinggi tersalah arah apabila mengubah dapatan hakim bicara berasaskan keterangan yang ada,” kata Hakim Che Mohd. Ruzima.

Bagi isu kedua, panel hakim turut mendapati dakwaan perayu mengalami masalah gangguan bipolar bukan dakwaan kosong.

“Berdasarkan sejarah perubatan perayu, empat pusat kesihatan iaitu Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (kini Hospital Canselor Tuanku Muhriz), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Pantai telah mengesahkan bahawa perayu sememangnya mengalami masalah itu sejak 2007 hingga 2013.

“Ini menunjukkan bahawa masalah yang dihadapi perayu berulang. Keterangan juga menyatakan bahawa perayu telah diberikan ubat-ubatan bagi mengatasi masalah yang dihadapinya,” kata hakim itu.

Pada prosiding semalam, Yasin diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, P. Sarulatha.

Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya melepas dan membebaskan Yasin atas tiga pertuduhan itu, namun memerintahkan penyanyi terbabit ditempatkan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta.

Kemudian pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi, Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan terhadap Yasin yang mana Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkannya selepas Yasin didapati bersalah atas tiga pertuduhan tersebut.

Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Kota Damansara pada 24 Mac 2022.

Yasin turut didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis dan memberikan dirinya dadah berbahaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya