KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd terhadap bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada tujuh tahun lalu selesai di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.
Ia selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan dalam prosiding berkaitan projek KL Vertical City (KLVC) yang difailkan oleh syarikat berkenaan pada 2018.
Penghakiman persetujuan itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir selepas Shahrir dan pemilik bersama Synergy Promenade, Datuk Abdul Rahman Soltan, bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama, tanpa perintah berkaitan kos.
Dalam kenyataan bersama itu, Shahrir menjelaskan beliau tidak pernah berniat untuk menjejaskan integriti profesional, tingkah laku, dan kejujuran Synergy Promenade serta pengarah-pengarahnya berkaitan projek KLVC.
“Saya mengakui dan menegaskan memorandum persefahaman (MoU) bertarikh 15 Januari 2018 adalah sah dan bebas daripada sebarang faktor yang boleh membatalkannya.
“Saya juga menerima dan menegaskan transaksi berkaitan pemindahan tanah Felda di bawah perjanjian jual beli (SPA) dan surat kuasa wakil (PA), serta pemindahan semula kepada Felda di bawah MoU, adalah telus, sah, dan bebas daripada sebarang faktor yang boleh membatalkannya,” katanya, semalam.
Kenyataan itu dibaca oleh Shahrir secara umum di mahkamah.
Susulan itu, Synergy Promenade menarik balik tindakannya terhadap Shahrir dan Felda namun masih meneruskan tindakan terhadap beberapa pihak lain.
Synergy Promenade sebelum ini memfailkan saman fitnah bernilai RM100 juta terhadap Shahrir dan Felda pada 4 Jun 2018 dengan mendakwa kenyataan Shahrir menjejaskan reputasi syarikat tersebut.
Shahrir diwakili peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, manakala Simon Murali dan Amrit Pal mewakili Synergy Promenade, serta Kumar Kanagasingam mewakili Felda.
Syarikat yang berpusat di Shah Alam itu terlibat dalam pemindahan 16 lot tanah di Jalan Semarak, seluas 16.06 ekar (6.5 hektar) dan bernilai RM270 juta, kepada dirinya sendiri dan syarikatnya, Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd, melalui empat perjanjian pada 2 Disember 2015 dan 7 November 2016. – UTUSAN