MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini tidak membenarkan jaminan kepada seorang lelaki warga Rohingya yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Mohammad Enus Sayed Hussin, 33, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun dan tujuh bulan ketika kejadian, yang merupakan anak jirannya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Merlimau dalam daerah Jasin pada pukul 8 malam, 21 Julai 2024.
Mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), selepas mengambil kira mangsa merupakan jiran tertuduh
Mahkamah menetapkan 9 September ini untuk sebutan semula kes dan melantik jurubahasa Rohingya. – UTUSAN










