MELAKA: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan membabitkan dua pelajar sekolah menengah, Selasa lalu.
Tertuduh, Ozey Binau, 25, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pemandu kereta bernombor pendaftaran MBY 4607 didapati kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 127 miligram (mg) per 100 mililiter (ml) melebihi tahap yang dibenarkan dan telah menyebabkan kemalangan dan kecederaan kepada penunggang serta pembonceng motosikal MDQ 3786 iaitu Nurhannani Iffah Rosman, 17, dan Hasya Nur Amira Mohd. Hader, 17.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4 petang di lampu isyarat Cheng Height dalam daerah Melaka Tengah pada 6 Ogos 2024.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda minimum RM30,000 dan tidak lebih RM50,000 mengikut Seksyen 44 (1A) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seksyen sama memperuntukkan tertuduh boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tidak kurang tujuh tahun daripada tarikh sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan hanya bekerja sebagai pekerja pasar raya dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN










