Ketua pembantu tadbir, rakan subahat didenda RM10,000

Ketua pembantu tadbir, rakan subahat didenda RM10,000 terima suapan

KEDUA-DUA tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas tiga pertuduhan iaitu bersubahat dan menerima suatu barang berharga berjumlah RM6,800.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penjawat awam dan seorang pesara sebuah jabatan kerajaan di Melaka mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan iaitu bersubahat dan menerima suatu barang berharga berjumlah RM6,800 antara Julai 2022 hingga Februari 2023.

Tertuduh, Yusmawati Mohamad Yussop, 48, dan Rosni Leman, 61, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Yusmawati ketika bertugas sebagai ketua pembantu tadbir telah menerima suatu barang berharga iaitu wang tunai berjumlah keseluruhan RM6,800 tanpa balasan daripada kontraktor salah sebuah syarikat pengiklanan di negeri ini, bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan yang ditawarkan di jabatan itu.

Rosni pula didakwa bersubahat dengan Yusmawati melakukan kesalahan itu, yang mana kesalahan tersebut dilakukan hasil persubahatan dengan Yusmawati.

Yusmawati didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan manakala Rosni didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Julieana Yahaya dan Nur Syakila Yaacob.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan kedua, denda RM5,000 atau lima bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan kelima dan denda RM3,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan keenam, bagi setiap tertuduh.

Pertuduhan lain dipertimbangkan sebagai take into consideration (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×