Pengurus, pemilik firma guaman direman enam hari

Pengurus, pemilik firma guaman direman enam hari

KESEMUA suspek dibawa ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka untuk permohonan reman. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga individu yang merupakan pengurus dan pemilik firma guaman di Melaka serta Lembah Klang direman lima dan enam bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pemberian wang suapan kepada pegawai bank sebuah institusi kewangan di negeri ini, berjumlah kira-kira RM12,072.

Kesemua suspek disyaki memberi suapan dalam membantu memberikan rujukan kes kepada firma guaman terlibat untuk urusan dokumentasi pinjaman hartanah daripada institusi kewangan berkenaan.

Dua suspek lelaki dan seorang wanita berusia antara 41 hingga 43 tahun itu ditahan antara pukul 11 pagi hingga 2 petang di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, Alai di sini, semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas kesemua suspek.

Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi serta penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sebelum ini, SPRM telah menahan seramai 12 individu berkaitan kes sama termasuk pengurus firma guaman, peguam dan pegawai bank. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×