MELAKA: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mendenda seorang operator kilang sebanyak RM5,450 selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota polis.
Tertuduh, J. Daniel, 31, membuat pengakuan bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati bersalah berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang sedang bertugas kira-kira pukul 12.30 pagi di Balai Polis Banda Hilir pada 17 Jun 2024.
Mengikut Seksyen 94 Akta Polis 1967, tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM500 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, tertuduh turut didapati bersalah mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah terhadap dua anggota polis yang sedang bertugas.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Selain itu, tertuduh juga didapati bersalah kerana telah menghalang tugas dua anggota polis yang menjalankan fungsi awam.
Mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada pukul 12.25 pagi di lampu isyarat Hotel Doubletree di persimpangan Jalan Syed Abdul Aziz pada tarikh sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Peguam Daniel Savarimutu merayu hukuman denda diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai operator kilang, selain perlu menjaga ibunya.
Mahkamah menjatuhkan denda RM450 atau penjara sebulan jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama, denda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar bagi pertuduhan kedua serta denda RM2,000 atau penjara empat bulan jika gagal bayar bagi pertuduhan ketiga. – UTUSAN










