Mat rempit dipenjara sehari, denda RM5,000

Mat rempit dipenjara sehari, denda RM5,000

TERTUDUH mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penunggang motosikal paling dikehendaki polis didenda RM5,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas didapati bersalah menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), tujuh tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membuat ketetapan itu selepas tertuduh, Khairul Izuan Kamaruddin, 31, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati bersalah menunggang motosikal dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3.45 pagi di Lebuh SPA berhampiran Stadium Hang Jebat dalam daerah Melaka Tengah pada 11 Jun 2017.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda tidak kurang RM5,000 atau tidak melebihi RM15,000 mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama dua lagi penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya iaitu menunggang secara membongkok dan memotong secara zig zag bermula dari jejantas di Bertam Ulu melalui Lebuh SPA ke Stadium Hang Jebat sebelum berpusing balik ke arah Bertam Ulu.

Tertuduh telah ditahan di bawah jejantas tersebut, namun menghilangkan diri dan gagal hadir ke mahkamah sejak tujuh tahun lalu sebelum berjaya ditahan semula di Taiping, Perak.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhamad Naim Abdul Jalil mencadangkan hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh ekoran kesalahan yang dilakukan.

Tertuduh merayu hukuman ringan kerana terpaksa pulang ke kampung di Taiping pada 2017 untuk menjaga ibu bapanya yang sakit, selain kakaknya merupakan orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari, denda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar dan turut hilang kelayakan mengambil lesen motosikal B2 selama lima tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×