KUALA LUMPUR: Dua lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam berkait kejadian membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, minggu lalu.
Penghantar barang, Muhammad Hasan Abd. Hamid, 29, dan pembantu penarik kereta, Muhamad Nur Kholis Muhamad Syaikhuddin, 23, didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan khianat terhadap premis tersebut dengan membaling empat botol yang telah dinyalakan api pada pukul 2.17 pagi, 9 Mei lalu di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Yap Kwan Seng di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 435 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu. Kelmarin, dua pengawal keselamatan, M. Preemraj dan Nor Rahman Sadik turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa.
Pada prosiding di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamed Noh mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh dan kedua-dua tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berdekatan pada setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam bela, M. V. Yoges yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar jumlah ikat jamin itu dikurangkan memandangkan anak-anak guamnya mempunyai tanggungan ramai dan masalah kesihatan.
“Muhammad Hasan baru bekerja sebagai penghantar barang. Dia menanggung enam anak berusia antara tiga tahun hingga 15 tahun dan isterinya pula menghidap asma. Dia juga menanggung ibu mentua yang uzur.
“Muhamad Nur Kholis mempunyai gout serta pernah terlibat dalam kemalangan dan telah dimasukkan plat besi di bahagian kaki menyebabkan di tidak boleh membuat kerja berat. Dia juga penanggung tunggal bagi ibu bapanya. Ibunya menghidap sakit diabetes dan lemah paru-paru dan bergantung kepada tertuduh bagi menjalani kehidupan harian,” kata peguam itu.
Selepas mempertimbang hujah dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Jun ini.
Pada 11 Mei lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa dalam satu laporan media berkata, salah faham berkaitan perniagaan dipercayai menjadi punca berlakunya kes sebuah pusat hiburan dibaling bom petrol dalam kejadian terbabit dan tidak melibatkan unsur-unsur kongsi gelap. – UTUSAN










