MELAKA: Seorang pegawai dan bekas pegawai bank direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas dipercayai meminta dan menerima wang suapan daripada beberapa firma guaman di negeri ini berjumlah RM316,064.33 sejak 2018 hingga 2022.
Perintah reman sehingga 21 April ini dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam terhadap suspek lelaki berusia 43 dan 35 tahun.
Kedua-dua suspek yang berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini, kira-kira pukul 8.55 pagi tadi dengan diiringi anggota SPRM.
Mereka ditahan pada pukul 6 petang semalam selepas hadir ke Pejabat SPRM Melaka untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, salah seorang suspek masih bertugas di ibu pejabat sebuah bank di Petaling Jaya, Selangor manakala seorang lagi merupakan bekas pegawai di bank sama bagi cawangan Melaka.
Siasatan awal mendapati, mereka dipercayai menerima suapan dalam membantu memberikan rujukan kes kepada beberapa firma guaman di negeri ini bagi urusan dokumentasi pinjaman hartanah daripada institusi perbankan tempat suspek bekerja antara 2018 hingga 2022 membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM316,064.33
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN










