Kembali didakwa merompak, selepas dua bulan keluar penjara

Kembali didakwa merompak, selepas dua bulan keluar penjara

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan merompak sebuah telefon bimbit. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tidak sampai dua bulan dibebaskan dari penjara, seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak seorang wanita yang sedang berjalan kaki pulang dari tempat kerja, minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Syafiq Hanif, 27, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merompak sebuah telefon bimbit milik mangsa sehingga menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM200.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8.40 malam di tepi Jalan Tun Fatimah dalam daerah Melaka Tengah pada 21 April 2024.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, tertuduh baharu sahaja selesai menjalani hukuman penjara lima tahun Februari lalu atas kesalahan sama.

Tertuduh dikatakan berpura-pura meminjam telefon bimbit mangsa kononnya ingin menghubungi rakannya sebelum melarikannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan tidak mencadangkan sebarang jaminan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×