KUALA LUMPUR: Berdasarkan 343 dokumen, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) menjejak aliran wang RM2.28 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dimasukkan ke dalam dua akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Adam Ariff Mohd. Roslan, wang itu dimasukkan ke dalam akaun Najib dalam empat fasa di antara 2011 hingga 2014.
“Berdasarkan dokumen perbankan dan maklumat yang diperoleh daripada pegawai penyiasat, didapati dana yang diterima Najib Razak melalui dua akaun peribadinya di AmIslamic Bank adalah dana dikumpul oleh 1MDB dan syarikat berkait dengannya,” kata saksi pendakwaan ke-47 yang juga sebahagian pasukan petugas 1MDB.
Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.28 bilion milik 1MDB dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Fasa pertama dinamakan sebagai Fasa Good Star yang mana di antara 23 Februari dan 14 Jun 2011, RM60,629,839.43 dikreditkan ke dalam akaun Najib di AmIslamic Bank (akaun 9694) daripada akaun di Bank Riyad, Arab Saudi yang dikesan berasal daripada pengeluaran bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) pada 2009 dan Pinjaman Bertempoh Bersindiket pada 2010.
Fasa kedua, Fasa Aabar-BVI yang berlaku di antara 30 Oktober dan 20 November 2012 yang mana RM90,899,927.28 dikreditkan ke dalam akaun Najib di AmIslamic Bank (akaun 9694) daripada sebuah akaun di Bank Standard Chartered, Singapura atas nama Blackstone Asia Real Estate Partners yang dikesan berasal daripada bon diterbitkan 1MDB Energy (Langat) Limited pada 2012.
Fasa ketiga, Fasa Tanore di antara 21 Mac dan 10 April 2012 yang mana RM2,081,476,926 dikreditkan ke akaun Najib di AmIslamic Bank (akaun 9694) daripada akaun di Falcon Private Bank, Singapura atas nama Tanore Finance Corp. yang dikesan berasal daripada bon diterbitkan 1MDB Global Investment Limited pada 2013.
Fasa keempat, Fasa Opsyen Pembelian Balik yang membabitkan dua transaksi iaitu pada 23 Jun 2014, sejumlah RM4,093,500 dikreditkan ke dalam akaun Najib di AmIslamic Bank (akaun 1880) daripada akaun di DBS Bank, Singapura atas nama Blackrock Commodities (Global) Limited yang dikesan berasal daripada pinjaman AS$250 juta oleh 1MDB Energy Holdings Limited pada 2014.
Transaksi kedua fasa keempat itu berlaku di antara 23 Oktober dan 19 Disember 2014 yang mana RM45,837,485.70 dikreditkan ke dalam akaun Najib di AmIslamic Bank (akaun 1880) daripada akaun di Amicorp Bank, Barbados yang mana sebahagian daripadanya berasal daripada pinjaman AS$975 juta oleh 1MDB Energy Holdings Limited pada 2014.
Pada prosiding semalam, Adam Ariff berkata, beliau menyediakan laporan jejak wang setebal 76 muka surat bagi memperinci jejak wang daripada sumber asalnya hingga ke akaun peribadi milik Najib berdasarkan dokumen-dokumen yang diberikan.
Beliau turut mengenal pasti dan menganalisis 24 akaun bank tempatan dan luar negara.
Katanya, ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low telah membuka akaun bank di Swiss, Coutts Bank Ltd. bagi syarikat Good Star Ltd. pada 11 Jun 2009 iaitu tiga bulan sebelum entiti tersebut menerima wang 1MDB sebanyak AS$700 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 18 September ini. – UTUSAN








