PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor mengemukakan permohonan menangguhkan prosiding rayuan dalam usaha mengetepikan sabitan kes rasuah projek solar dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta yang dikenakan terhadapnya.
Permohonan penangguhan itu akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat ini. Prosiding rayuan pula ditetapkan selama empat hari berturut-turut bermula 11 Julai ini.
Salah seorang peguam bela Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu wakil media bahawa penangguhan itu dikemukakan melalui surat kepada mahkamah, bulan lalu.
Mahkamah dijadual mendengar rayuan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu untuk menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhi hukuman dalam kes itu.
Sebelum ini, kedua-dua rayuan ditetapkan untuk pendengaran pada 22 dan 23 Jun namun telah dijadualkan semula bermula 11 hingga 14 Julai.
Jelas Akberdin, Rosmah memohon penangguhan rayuan projek solar bagi membolehkan Mahkamah Persekutuan mendengar dahulu rayuan berhubung pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan kes itu.
Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memberitahu, semua pihak sudah memfailkan penghujahan masing-masing.
Pada 22 Jun lalu, satu panel lain Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman mencabar pelantikan Sri Ram.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak rayuan itu atas alasan perayu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman melebihi tempoh masa tiga bulan yang dibenarkan oleh undang-undang.
Pada 1 September 2022, Rosmah, 71, dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Dalam petisyen rayuan difailkan pada 13 Oktober 2022, Rosmah mengemukakan 127 alasan antaranya mendakwa Hakim Mohamed Zaini merumuskan pembelaannya adalah penafian kosong semata-mata (bare denial), sebagai tidak munasabah.
Pertuduhan pertama, Rosmah disabitkan meminta suapan RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin.
Pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu, pada 7 September 2017.
Pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di Jalan Langgak Duta. – UTUSAN