Permohonan Rosmah tangguh rayuan projek solar Jumaat ini - Utusan Malaysia

Permohonan Rosmah tangguh rayuan projek solar Jumaat ini

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor mengemukakan permohonan untuk menangguhkan prosiding rayuan dalam usaha mengetepikan sabitan kes rasuah projek solar dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta yang dikenakan terhadapnya.

Permohonan penangguhan itu akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat ini. Prosiding rayuan pula telah ditetapkan selama empat hari berturut-turut bermula 11 Julai ini (minggu hadapan).

Salah seorang peguam bela Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu wakil media bahawa penangguhan itu dikemukakan melalui surat kepada mahkamah, bulan lalu.

Mahkamah turut dijadualkan mendengar rayuan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhkan hukuman dalam kes itu.

Sebelum ini, kedua-dua rayuan ditetapkan untuk pendengaran pada 22 dan 23 Jun namun telah dijadualkan semula selama empat hari bermula 11 Julai hingga 14 Julai.

Akberdin turut berkata, Rosmah memohon penangguhan rayuan projek solar bagi membolehkan Mahkamah Persekutuan mendengar dahulu rayuannya berhubung pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn turut memberitahu wakil media, semua pihak sudah memfailkan penghujahan masing-masing.

Pada 22 Jun lalu, satu panel lain Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman mencabar pelantikan Sri Ram.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak rayuan itu atas alasan perayu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman melebihi tempoh masa tiga bulan yang dibenarkan oleh undang-undang.

Pada 1 September 2022, Rosmah, 71, dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan agar hukuman tersebut ditangguhkan sehingga rayuan wanita itu diputuskan.

Sehari kemudian, isteri bekas Perdana Menteri itu memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi.

Petisyen rayuan pula difailkan pada 13 Oktober 2022 dengan mengemukakan 127 alasan antaranya mendakwa Hakim Mohamed Zaini merumuskan pembelannya adalah penafian kosong semata-mata (bare denial), sebagai tidak munasabah.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah disabitkan meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta , pada 7 September 2017.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi kesalahan pertama, Rosmah dikenakan denda RM937.5 juta, kesalahan kedua RM7.5 juta manakala kesalahan ketiga RM25 juta.

Bagi setiap kesalahan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan memerintahkan ia dijalankan serentak.

Sekiranya Rosmah gagal membayar jumlah denda itu, hukuman penjaranya boleh ditambah lagi 30 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN