PETALING JAYA: Seorang pencuci kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memukul isterinya, akhir bulan lalu.
L. Daneshwaran, 30, yang juga bapa kepada dua anak meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja mendatangkan cedera dengan memukul S. Kasturi, 29, di sebuah unit pangsapuri di Bandar Puchong Jaya, di sini, pukul 12.30 tengah malam, 29 Jun lalu.
Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farhanah Fuad Mohamad Faiz menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa hingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam mewakili Daneshwaran, Datin Raj Preet Kaur, memohon jaminan rendah atas alasan anak guam menanggung keluarga, selain tiada risiko melarikan diri.
Jelasnya, tertuduh yang bekerja sebagai pencuci kereta menanggung ibu bapa serta dua anak yang berusia tiga dan dua tahun.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan, selain
menetapkan 14 September ini untuk sebutan kes. – UTUSAN