KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini semalam atas pertuduhan menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal Ducati dalam kejadian di Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) bulan lalu.
Mudzyadaha Mohammad, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal secara bahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Ahmad Fadzil Omar Azaddin.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 1.10 petang, 14 Jun di Kilometer 22.2 Lebuhraya SUKE.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.
Terdahulu peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail memaklumkan, tertuduh seorang pesakit mental yang juga orang kurang upaya (OKU) dan mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Semasa kejadian, tertuduh tidak berfikir dengan waras sehingga berlakunya pelanggaran secara berlawanan arus, jadi, saya pohon pada mahkamah membenarkan untuk tertuduh menjalani ujian psikiatri di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Amalina membenarkan permohonan tertuduh menjalani ujian psikiatri selain dibenar diikat jamin RM10,000.
Dalam kejadian tersebut, Ahmad Fadzil melanggar penghadang sebelah kiri jalan lalu terjatuh dari Lebuhraya SUKE pada ketinggian kira-kira 30 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tertuduh yang mengakibatkan kemalangan itu tampil membuat laporan pada 16 Jun lalu.
Siasatan awal polis mendapati, tertuduh menunggang melawan arus kerana tersesat sebelum mengambil keputusan menaiki jejambat lebuh raya SUKE untuk ke rumahnya di Kajang. – UTUSAN