Ibu tunggal nafi abai anak hingga dibunuh kekasih - Utusan Malaysia

Ibu tunggal nafi abai anak hingga dibunuh kekasih

TEMAN lelaki tertuduh diiring keluar anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. Lelaki itu berdepan pertuduhan melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang ibu tunggal didakwa atas pertuduhan mengabaikan anak lelaki berusia tiga tahun manakala kekasihnya dituduh membunuh kanak-kanak berkenaan dalam prosiding ber­asingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini semalam.

Bagaimanapun tertuduh, Nu­rasyiqin Syaqiqah A. Ramlee, 24, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam selepas pertuduhan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dibacakan jurubahasa mahkamah.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu ibu kandung mang­sa didapati melakukan pengabaian.

Tertuduh didapati mendedahkan anak kandungnya de­ngan cara yang mungkin akan menyebabkan mangsa me­ngalami kecederaan fizikal atau emosi serta membenarkannya dianiaya iaitu menyerahkannya kepada teman lelaki.

Ia dilakukan di sebuah rumah bernombor di Jalan PE 15, Taman Paya Emas, Cheng dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 5.30 hingga 6.30 pagi pada 6 Julai lalu.

Tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari tidak mencadangkan jaminan manakala peguam Umar Zulkarnain merayu jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung ibu yang tidak sihat dan bersetuju syarat tambahan dikenakan terhadapnya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat perlu lapor diri sekali pada setiap 1 hari bulan sebelum pukul 1 petang, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman pula, kekasihnya, Muhammad Firman Hakimie Abdul Rahman, 25, mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

Kesalahan itu dilakukan di tempat, tarikh dan masa sama. Tertuduh boleh dihukum mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos ini sebutan semula kes.

Utusan Malaysia pada 7 Julai lalu melaporkan, seorang ibu tunggal dan teman lelakinya direman tujuh hari berhubung kematian anak lelaki wanita itu yang me­ngalami kecederaan parah pada tengkorak dan perut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya