MELAKA: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menumbuk kepala dan menghempas badan bapa kandungnya ke tanah, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Fahmi Ramli, 29, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap bapanya dengan menumbuk di kepala dan menghempas badannya ke tanah berbatu.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 7.06 petang pada 13 Jun 2023 di sebuah rumah bernombor di Jalan Bunga Raya 4, KM4, Kampung Semabok dalam daerah Melaka Tengah.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dikenakan kerana tertuduh mempunyai rekod lampau atas kesalahan sama.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan. Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dipenjara lapan bulan dari tarikh sabitan.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah seksyen sama kerana menumbuk kepala bapanya dengan tangan di alamat sama, kira-kira pukul 11.05 malam pada 15 Mei 2022.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan cara membaling objek seperti batu, kayu dan besi terhadap mangsa di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh kemudiannya mengaku tidak bersalah memberikan diri sendiri dadah jenis methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kira-kira pukul 4.45 petang pada 15 Jun 2023. – UTUSAN