Wanita Vietnam didakwa serang polis guna gunting

Wanita Vietnam didakwa serang polis guna gunting

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas dua pertuduhan menyerang dan menghalang seorang pegawai polis. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang wanita warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyerang dan menghalang seorang pegawai polis, bulan lalu.

Tertuduh, Nguyen Thi Cam Nhung, 28, bagaimanapun hanya mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua, namun pengakuan itu tidak diterima oleh Majistret Nabilah Nizam susulan kenyataan itu dilakukan secara berubah-ubah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap Inspektor Mohd. Shahrol Firdaus Senawi dengan sebilah gunting.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan niat telah menghalang tugas rasmi seorang penjawat awam.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda maksimum sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 9.30 malam di Silverscape Resident, Element Mall, Jalan Syed Abdul Aziz dalam daerah Melaka Tengah pada 16 April 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warganegara.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali dalam setiap minggu dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU) berusia tiga tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin warganegara dan menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen serta menyediakan jurubahasa Vietnam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN