ALOR GAJAH: Seorang penyelia syarikat pembersihan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas enam pertuduhan penipuan pembelian lot tanah tidak wujud membabitkan kerugian berjumlah RM60,661.
Bagaimanapun, tertuduh, S. Sevasangar, 41, mengaku tidak bersalah sejurus enam pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu enam individu berumur 36 hingga 53 tahun berkaitan pembelian lot tanah tidak wujud sehingga mendorong mangsa membuat pembayaran secara tunai dan berperingkat berjumlah RM60,661 yang mana, mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdayakan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai serbaneka dan Taman Pengkalan Indah dalam daerah Alor Gajah antara Mei 2022 hingga 30 Mac 2023.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebatan dan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan RM57,000 untuk kesemua pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan perlu menanggung keluarga dan telah dihalau dari rumah sewa.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM28,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Jun ini untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam. – UTUSAN